Benarkah Nabi ﷺ Minta Bantuan Yahudi Ketika Berhijrah ke Madinah?
Dua orang yang membantu Hijrah — Abdullah bin Uraiqit dan Amir bin Fuhairah — kedua-duanya orang Arab, bukan Yahudi. Tetapi Nabi ﷺ memang pernah bekerjasama dengan Yahudi selepas Hijrah.
Tersebar video ceramah politik di Facebook yang bercakap tentang Hijrah Nabi ﷺ. Video lebih kurang lima minit itu saya tonton tiga kali untuk memastikan saya tidak silap dengar.
Sebelum menjawab, saya nyatakan dulu: saya bukan ahli politik mana-mana parti, dan saya tidak kenal penceramah tersebut. Saya menjawab atas dasar pencinta, pengkaji sirah dan admin Simply Sirah.
Ringkasnya penceramah membuat beberapa dakwaan:
“Waktu Nabi ﷺ Hijrah, ada 2 orang Yahudi yang tolong Nabi ﷺ untuk hijrah dari Makkah ke Madinah, Abdullah bin Uraiqit dan Amir bin Fuhairah.”
Pada minit 2:15 penceramah menegaskan bahawa Abdullah bin Uraiqit “bukan seorang yang beragama Islam, dia seorang yang beragama Yahudi.”
1. Benarkah Abdullah bin Uraiqit bukan Islam dan seorang Yahudi?
Abdullah bin Uraiqit memang bukan Islam, tetapi dia bukan Yahudi. Dari sudut nasab, beliau orang Arab Kinanah dari Bani al-Dil bin Bakr (kadang-kadang disebut al-Du’il; ada khilaf tentang dhabt nasab ini). Kinanah ialah kerabat Quraisy. Itu dari sebelah bapa. Dari sebelah ibu, ibunya juga Arab — bahkan Quraisy, dari Bani Sahm bin Amr. 1Sirah Ibn Hisham 1/485
Agamanya pula disebut jelas dalam riwayat sirah dan hadis: beliau seorang musyrik yang mengikut agama Quraisy, iaitu menyembah berhala. Sembahan Kinanah biasanya mengikut apa yang disembah Quraisy; antara berhala utama mereka ialah al-Uzza di Nakhlah, sebagaimana dinaskan oleh Imam al-Azraqi. 2Sahih al-Bukhari no. 2263 3Akhbar Makkah al-Azraqi 1/199
2. Adakah Abdullah bin Uraiqit memeluk Islam akhirnya?
Zahir keadaannya menunjukkan beliau tidak memeluk Islam, dan tiada bukti jelas tentang keislamannya. Ini antara yang disebut oleh Imam Ibn Hajar, al-Nawawi dan kebanyakan ulama sirah.
Kesimpulan: Dakwaan bahawa Abdullah bin Uraiqit seorang Yahudi atau Ahli Kitab tidak betul sama sekali.
Nama beliau boleh dibaca dengan beberapa lafaz kerana ulama sirah dan ansab berbeza tentang sebutan nama bapanya: Uraiqit (dengan ط), Uraiqid (dengan د), atau Arqat (أرقط) sebagaimana yang dirajihkan oleh Imam Ibn Hisham.
3. Adakah Amir bin Fuhairah seorang Yahudi?
Tidak. Bahkan jauh menyimpang.
Walaupun Amir selalu dikaitkan dengan Bani Taim bin Murrah (kabilah Abu Bakar), asalnya bukan daripada Taim. Dari sudut nasab, Amir ialah muwallad dalam kabilah al-Azd di Yaman — bukan keturunan Arab murni, tetapi keturunan hamba yang lahir dan membesar dalam kalangan Arab Yaman. Bagaimana beliau berasimilasi dengan al-Azd lalu masuk ke kabilah Abu Bakar ada kisahnya tersendiri, dan itulah konteks mengapa Abu Bakar membebaskannya. 4Ansab al-Asyraf 1/193 5al-Isti'ab 5/257
Bagaimana Amir memeluk Islam, atau melalui siapa, tiada rekod jelas dalam kitab-kitab sirah setakat pengetahuan saya. Tetapi kerana hubungannya yang rapat dengan Abu Bakar sejak sebelum Islam, kemungkinan besar keislamannya dipengaruhi Abu Bakar. Amir termasuk al-Sabiqun al-Awwalun. Bahkan beliau Islam sebelum Nabi ﷺ berdakwah di Darul Arqam, sebagaimana disebut Imam Ibn Sa’d — lebih awal daripada Mus’ab bin Umair, adik-beradik Bani al-Bukair, Hamzah dan Umar al-Khattab. 6al-Tabaqat al-Kubra 3/211
Kesimpulan: Amir bin Fuhairah bukan Yahudi atau Ahli Kitab.
4. Peranan Amir bin Fuhairah ketika Hijrah
Penceramah berkata pada minit 3:15 bahawa Amir melalukan kambing di atas jejak kaki Nabi ﷺ sehingga musyrikin keliru — “maknanya Amir bin Fuhairah ini pun adalah orang Yahudi.”
Betul, antara peranan Amir ialah menghapuskan jejak ketika Hijrah, sebagaimana disebut Imam Ibn Hisham. Konteks penuhnya: selepas dibebaskan, Amir menjadi pengembala kambing Abu Bakar. Kerana itulah beliau yang membawa kambing ke Gua Thawr sebagai bekalan susu untuk Nabi ﷺ dan Abu Bakar, dan tiada siapa curiga ke mana pun kambing itu dibawa — memang itu kerjanya. Menutup jejak boleh dikira “misi sampingan” beliau.
Tetapi apa kaitan menguruskan kambing dengan Yahudi? Saya pun tidak faham bagaimana perkaitan itu dibuat.
5. Pernahkah Nabi ﷺ bekerjasama dengan Yahudi?
Seperti dibahaskan tadi, dua orang yang membantu Nabi ﷺ ketika Hijrah kedua-duanya orang Arab. Tiada penglibatan Yahudi sepanjang Hijrah.
Namun jika ditanya, pernahkah Nabi ﷺ menggunakan khidmat orang Yahudi sepanjang hayat Baginda? Jawapannya ya, bahkan banyak.
Nabi ﷺ sendiri mempunyai khadam seorang budak Yahudi, lebih kurang sebaya Anas bin Malik. Budak itu memeluk Islam sebelum meninggal dunia.
كان غلام يهودي يخدم النبي صلى الله عليه وسلم فمرض، فأتاه النبي صلى الله عليه وسلم يعوده، فقعد عند رأسه، فقال له: (أسلم). فنظر إلى أبيه وهو عنده، فقال له: أطع أبا القاسم صلى الله عليه وسلم، فأسلم
Nabi ﷺ juga menyerahkan kebun kurma Khaibar kepada Yahudi Khaibar untuk diusahakan dengan modal mereka, dengan Baginda mengambil separuh hasil. Riwayat inilah dalil akad musaqah.
أنه دفع إلى يهود خيبر نخل خيبر وأرضها، على أن يعتملوها من أموالهم، ولرسول الله صلى الله عليه وسلم شطر ثمرها
Bahkan Nabi ﷺ pernah membuat perjanjian politik dengan Yahudi — Piagam Madinah (Wathiqah al-Madinah) antara Muhajirin, Ansar dan Yahudi. Antara isinya: perdamaian, sama-sama mempertahankan Madinah daripada serangan, kebebasan Yahudi mengamalkan agama mereka, dan penetapan hak yang dipersetujui. Ini antara perkara terawal yang Baginda lakukan selepas Hijrah. 9al-Rawd al-Unuf 4/171 10Imta' al-Asma' 9/200
Kesimpulan: Nabi ﷺ memang pernah bekerjasama dan menggunakan khidmat Yahudi — mereka sebahagian warga Madinah. Tetapi itu selepas Hijrah, bukan ketika Hijrah.
6. Salahkah orang Islam bekerjasama dengan bukan Islam?
Penceramah bertanya di akhir video: apa salahnya kita di Malaysia bekerjasama antara kaum dan agama?
Tak salah. Kerjasama antara kaum dan agama perkara biasa, dan Nabi ﷺ sendiri melakukannya. Abdullah bin Uraiqit orang bukan Islam. Sebelum itu, Nabi ﷺ pernah meminta jiwar (perlindungan) daripada Mut’im bin Adi yang kafir. Jika dibahas mendalam, sangat banyak Nabi ﷺ dibantu atau “terhutang budi” kepada orang bukan Islam, terutama di era Makkah — perbahasan yang saya syarahkan dalam kelas sirah era Makkah sepanjang tiga tahun lepas.
Imam Ibn Hajar membahaskan panjang lebar bab mengupah orang musyrik ketika ada keperluan, misalnya apabila orang Islam sendiri tidak mahir dalam sesuatu urusan. Dalam konteks hari ini, hampir setiap hari hidup kita melibatkan khidmat dan kerjasama orang bukan Islam secara langsung atau tidak. Tiada masalah mengaitkan Nabi ﷺ dengan kerjasama bersama bukan Islam — asalkan fakta dan konteksnya tepat.
Kesimpulan akhir
- Nabi ﷺ tidak menggunakan bantuan Yahudi ketika Hijrah ke Madinah.
- Dua orang yang membantu Nabi ﷺ ketika Hijrah bukan Yahudi.
- Harus bekerjasama atau menggunakan khidmat orang bukan Islam.
- Berhati-hatilah mengaitkan sirah dengan kepentingan peribadi, terutama politik.
- Saya menegur sesiapa sahaja yang salah dalam bab sirah tanpa mengira parti.
Nasihat saya kepada orang politik dari mana-mana parti: berhati-hatilah memetik sirah Nabi ﷺ. Pastikan ketepatan naratif sebelum menukilnya. Walaupun sudah tepat, jangan sesuka hati menggunakan riwayat sirah untuk menjustifikasikan kepentingan politik jika konteksnya tidak betul. Menukil riwayat sirah dengan betul itu satu ilmu; memahami konteksnya satu seni dan ilmu tersendiri.
Wallahua’lam.
Rujukan
- Sirah Ibn Hisham 1/485
- Sahih al-Bukhari no. 2263
- Akhbar Makkah al-Azraqi 1/199
- Ansab al-Asyraf 1/193
- al-Isti'ab 5/257
- al-Tabaqat al-Kubra 3/211
- Sahih al-Bukhari no. 1356
- Sahih Muslim no. 1551
- al-Rawd al-Unuf 4/171
- Imta' al-Asma' 9/200
Nombor jilid dan halaman mengikut cetakan yang disenaraikan dalam kaedah rujukan. Nombor hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim mengikut penomboran Fu'ad Abd al-Baqi / Fath al-Bari.