Al-Arqam yang Sejati
"Darul Arqam" ialah rumah milik seorang sahabat remaja dari Bani Makhzum — suku yang sama dengan Abu Jahal — yang melindungi dakwah awal secara rahsia.
Sebahagian orang apabila mendengar nama al-Arqam menyangka ia nama gerakan, organisasi atau rumah. Sebenarnya al-Arqam ialah nama sahabat Nabi ﷺ yang mulia — al-Arqam bin Abi al-Arqam — dan beliau termasuk al-Sabiqun al-Awwalun.
Menurut Ibn Ishaq dan Ibn Hisham, hampir 50 orang sahabat tergolong dalam al-Sabiqun al-Awwalun, dan al-Arqam antara sepuluh terawal. Terawal daripada yang terawal.
Kerana beliau menawarkan rumahnya sebagai markas dakwah pertama, orang menyebutnya Darul Arqam hingga hari ini — dan ramai tersalah faham bahawa Arqam ialah nama rumah. Sebenarnya itu nama tuan rumah.
Yang ramai tidak sedar, beliau masuk Islam ketika berusia sekitar 15–16 tahun. Lebih menarik, beliau dari Bani Makhzum, suku yang sama dengan Amr bin Hisyam (Abu Jahal). Apabila beliau menawarkan rumahnya, kita perlu melihatnya sebagai seorang Makhzumi — dari suku yang paling kuat memusuhi Nabi ﷺ — yang masih “budak” dan “pendiam”, memberi perlindungan kepada Nabi ﷺ dan sahabat. Boleh dikatakan beliau orang terawal dari Bani Makhzum yang memeluk Islam.
Apa yang al-Arqam lakukan ialah satu langkah genius. Abu Jahal sendiri tidak terfikir dan tidak syak apa-apa, padahal jika terbongkar, besar akibatnya kepada al-Arqam. Kerana itu al-Zahabi menyebut beliau antara orang bijak dalam kalangan Quraisy.
Muda, bijak strategi dan pandai menjaga rahsia besar. Jarang sekali nama dan jasa al-Arqam dikenang apabila kita menyebut sahabat — beliau mengajar kita makna menjadi orang penting di sebalik tabir.
Hari ini nama Arqam telah ditunggang dan dicemari sehingga apabila disebut, orang terus teringat kepada organisasi atau gerakan sesat. Sungguh disayangkan nama sahabat Nabi ﷺ yang mulia ini tercemar.
Semoga Allah merahmati al-Arqam bin Abi al-Arqam, sahabat yang sangat besar jasanya di awal dakwah. Radhiallahu ‘anhu.