Nama Muhammad Sebelum Era Kenabian

Sebahagian ulama sejarah Islam telah menyebutkan perbahasan ini di dalam bab yang khusus. Contohnya seperti al-Qadhi Iyadh di dalam al-Shifa’, al-Hafiz al-Mughaltay di dalam kitab sirahnya, dan Ibn Furak menyebutnya di dalam al-Fudhul.

Menurut al-Qadhi Iyadh, nama Muhammad belum pernah diberikan kepada seseorang di kalangan Arab sehinggalah hampir tiba zaman kenabian. Ketika hampir tiba zaman kelahiran baginda, maka tersebarlah khabar akan diutusnya nabi akhir zaman yang bernama Muhammad. Berita ini pada asalnya berlegar di kalangan ahli kitab, lalu berpindah ke telinga sebahagian kecil orang Arab yang bergaul dengan ahli kitab.

Maka sebahagian kecil orang Arab itu ada yang menamakan anak mereka dengan nama Muhammad dengan harapan anak mereka itulah yang akan menjadi nabi akhir zaman.

Mereka itu ialah:
-Muhammad bin Uhaihah al-Ausi,
-Muhammad bin Maslamah al-Ansari, -Muhammad bin Barra al-Bakri,
-Muhammad bin Sufyan bin Mujashi’, -Muhammad bin Humran al-Ju’fi,
-Muhammad bin Khuza’i al-Sulami.

Itu pandangan yang dikemukakan oleh al-Qadhi Iyadh.

Al-Hafiz al-Mughaltay pula menambah beberapa orang lagi yang bernama Muhammad (sebelum diutusnya Nabi Muhammad ﷺ):

-Muhammad bin ‘Adi bin Rabi’ah,
-Muhammad al-Usaidi,
-Muhammad al-Fuqaymi,
-Muhammad bin ‘Uthwarah al-Laithi,
-Muhammad Hirmaz al-‘Umari,
-Muhammad bin Khauli al-Hamadani,
-Muhammad bin Yazid bin Rabi’ah,
-Muhammad bin Usamah bin Malik.

Menurut Ibn Furak, beberapa orang Arab telah berkunjung ke istana raja yang mempunyai ilmu daripada kitab-kitab terdahulu. Maka raja itu menceritakan kepada mereka mengenai nabi akhir zaman bernama Muhammad yang sudah hampir masa kebangkitannya.

Apabila mereka pulang ke rumah, masing-masing memilih nama Muhammad untuk anak-anak mereka yang baru lahir dengan harapan anak itu akan diutus menjadi nabi akhir zaman seperti yang dikhabarkan oleh raja itu.

Akan tetapi, Allah lebih mengetahui di mana Dia meletakkan tugas kerasulan-Nya.

Kesimpulannya, nama Muhammad tiada di kalangan orang Arab sehinggalah hampir tiba zaman perutusan Nabi Muhammad ﷺ. Sebahagian kecil orang Arab hanya mengetahui dan menamakan anak mereka selepas mengetahui khabar nabi akhir zaman melalui pergaulan mereka dengan ahli kitab. Itupun dalam jumlah yang sangat kecil dan jarang.

[Admin Ibn Hisham]
#simplysirah#ahlisirahwaljamaah#syoksirah#sekolahsirah#sembangsirah#tadabbursirah#sahabatsirah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart